PETALING JAYA: Pemaju hartanah, Glomac Bhd., berharap kerajaan akan mengkaji semula permintaan untuk memperkenalkan Skim Deposit Madani dalam tinjauan separuh tahun Belanjawan 2025 nanti.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Glomac, Datuk Seri FD Iskandar berkata, beliau menyokong cadangan pengenalan skim berkenaan yang disifatkan dapat mengatasi masalah pembeli rumah pertama untuk menyediakan deposit membeli rumah.
Katanya, skim itu sememangnya akan dapat membantu pembeli rumah pertama dan saya berharap kerajaan dapat pertimbang untuk memperkenalkannya nanti kerana tidak diumumkan dalam dalam belanjawan kali ini.
“Kedua, saya merayu juga supaya kerajaan boleh perkenal Kempen Pemilikan Rumah (HOC) pada kajian separuh tahun nanti. Menerusi HOC ini setem duti dapat dikecualikan kepada rumah berharga RM500,000.
“Tetapi saya minta supaya pengecualian setem duti ini dapat dinaikkan kepada rumah berharga RM1 juta untuk lokasi-lokasi seperti di Kuala Lumpur, Lembah Klang, Pulau Pinang dan sebagainya,” katanya mengulas mengenai pengumuman Belanjawan 2025 secara maya hari ini.
Beliau turut berharap kerajaan supaya dapat mempertimbangkan semula pelaksanaan cukai dividen dua peratus yang akan dilaksanakan tahun depan.
“Ini kerana dividen ini sudah pun dikenakan cukai, jadi dengan pelaksanaan cukai dividen ini akan menyebabkan dividen dikenakan dua kali cukai,” katanya
Bagaimanapun, Glomac turut menyifatkan Belanjawan 2025 sebagai prihatin kerana banyak menumpukan usaha untuk membantu golongan muda dan pembeli pertama memiliki rumah sendiri.
“Ini dapat dilihat melalui pengumuman pelepasan cukai individu sehingga RM7,000 ke atas bayaran faedah pinjaman perumahan yang boleh dituntut dalam tempoh tiga tahun.
“Pengenalan Skim Step Up Financing di bawah Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Bhd (SJKP) juga dapat membantu pembeli pertama kerana menawarkan kemudahan bayaran balik pinjaman yang lebih rendah bagi tempoh lima tahun pertama.
“Saya turut teruja bila kerajaan buat kali pertama menyebut bahawa mereka peruntukkan 50 ekar tanah di Bandar Malaysia sebagai Tanah Rizab Melayu. Seperti kita tahu, tanah di Bandar Malaysia adalah amat berharga dan strategik.
“Dengan memperuntukkan 50 ekar tanah ini sebagai Rizab Melayu, ini menunjukkan dasar yang diperkenalkan akan membantu lebih ramai orang Melayu untuk memiliki hartanah di kawasan yang begitu strategik,” katanya. – UTUSAN
Source: Utusan