KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, Glomac Bhd, menyifatkan Belanjawan 2025 sebagai prihatin kerana banyak menumpukan usaha untuk membantu golongan muda dan pembeli pertama memiliki rumah sendiri.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Glomac Bhd, Datuk Seri FD Iskandar, berkata ini dapat dilihat melalui pengumuman pelepasan cukai individu sehingga RM7,000 ke atas bayaran faedah pinjaman perumahan yang boleh dituntut dalam tempoh tiga tahun.
Selain itu katanya, pengenalan Skim Step Up Financing di bawah Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Bhd (SJKP) juga dapat membantu pembeli pertama kerana menawarkan kemudahan bayaran balik pinjaman yang lebih rendah bagi tempoh lima tahun pertama.
“Saya turut teruja bila kerajaan buat kali pertama menyebut bahawa mereka peruntukkan 50 ekar tanah di Bandar Malaysia sebagai Tanah Rizab Melayu. Seperti kita tahu, tanah di Bandar Malaysia adalah amat berharga dan strategik.
“Dengan memperuntukkan 50 ekar tanah ini sebagai Rizab Melayu, ini menunjukkan dasar yang diperkenalkan akan membantu lebih ramai orang Melayu untuk memiliki hartanah di kawasan yang begitu strategik,” katanya mengulas mengenai pengumuman Belanjawan 2025 secara maya hari ini.
Dalam pada itu FD Iskandar turut berharap kerajaan boleh mengkaji semula permintaannya pada kajian separuh tahun belanjawan ini nanti iaitu pengenalan skim deposit.
Katanya, skim ini sememangnya akan dapat membantu pembeli rumah pertama dan saya berharap kerajaan dapat pertimbang untuk memperkenalkannya nanti.
“Kedua, saya merayu juga supaya kerajaan boleh perkenal Kempen Pemilikan Rumah (HOC) pada kajian separuh tahun nanti. Menerusi HOC ini setem duti dapat dikecualikan kepada rumah berharga RM500,000.
“Tetapi saya minta supaya pengecualian setem duti ini dapat dinaikkan kepada rumah berharga RM1 juta untuk lokasi-lokasi seperti di Kuala Lumpur, Lembah Klang, Pulau Pinang dan sebagainya,” katanya.
Beliau turut berharap kerajaan supaya dapat mempertimbangkan semula pelaksanaan cukai dividen dua peratus yang akan dilaksanakan tahun depan.
“Ini kerana dividen ini sudah pun dikenakan cukai, jadi dengan pelaksanaan cukai dividen ini akan menyebabkan dividen dikenakan dua kali cukai,” katanya.
Source: Berita Harian